10.19 Juta Penerima BPN Terima Bantuan Berjumlah RM10.88 Bilion

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Seramai 10.19 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sudah menerima bantuan membabitkan jumlah keseluruhan RM10.88 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jumlah terkumpul setakat 19 Jun lalu itu membabitkan pelaksanaan pada tahap 97 peratus.

“Antara 12 hingga 19 Jun, sebanyak RM40 juta telah dibayar kepada 40,000 penerima BPN melalui bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sejumlah 181,000 rayuan BPN yang diluluskan berjumlah RM162 juta akan menerima bayaran masing-masing mulai esok.

“Saya berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban kesemua bakal penerima BPN,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM1.5 bilion bagi bayaran BPN menjadikan angka keseluruhannya RM11.5 bilion membabitkan kira-kira 10.77 juta penerima.

Penerima BPN dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama seramai 8.3 juta penerima menerima bayaran secara berperingkat dalam Fasa Pertama dan Kedua.

Bagi kumpulan kedua, ia membabitkan 2.3 juta penerima yang diumumkan pada 9 Mei lalu, dengan 2.08 juta daripadanya sudah menerima bantuan BPN yang dibuat secara sekali gus berjumlah RM1.57 bilion setakat 31 Mei lalu.

Kumpulan ketiga pula adalah mereka yang telah membuat rayuan antara 11 hingga 31 Mei baru-baru ini.

Mengulas mengenai i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, sebanyak 4.3 juta permohonan telah diluluskan membabitkan jumlah RM2 bilion sebulan sehingga 19 Jun lalu.

“Alhamdulillah, program i-Lestari, yang dikeluarkan daripada akaun 2, telah dapat membantu mengurangkan beban aliran tunai yang dihadapi rakyat,” katanya.

Permohonan pengeluaran i-Lestari yang bermula pada 1 April itu menyaksikan pencarum KWSP yang layak membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan.

Jumlah pengeluaran itu ternyata membantu rakyat yang memerlukan dan ia dapat meringankan beban kewangan mereka yang terjejas oleh penularan COVID-19.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1114