Tawau Kembali Zon Kuning Selepas Rekod Satu Kes Baharu COVID-19

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Tawau kembali merekodkan satu kes baharu COVID-19 pada 21 Jun selepas menjadi zon hijau sejak 16 Jun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, kes baharu ke-364 itu membabitkan lelaki bukan warganegara dan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.

Menurutnya, kes berkenaan dikesan positif melalui aktiviti saringan khas dan pesakit dimasukkan ke Hospital Tawau. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Sehingga kini sebanyak tujuh kes masih menjalani rawatan dan sebanyak 350 kes COVID-19 dilaporkan sembuh di Sabah.

“Tawau turut merekodkan satu premis makanan yang diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 20 Jun 2020.

“Sebanyak 849 premis menjalani pemeriksaan dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 114,250 ujian dijalankan di negeri ini termasuk 992 ujian yang dijalankan pada 20 Jun lepas.

Daripada jumlah itu katanya, dua sampel dikesan positif iaitu satu sampel kes baharu manakala satu lagi sampel ulangan.

Christina berkata, seramai 1,389 orang masih aktif menjalani arahan kuarantin di rumah manakala 275 orang lagi menjalani arahan di pusat kuarantin.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4801