Felda Umas Belanja Lebih RM200,000 Pindahkan Gajah Liar

Foto BERNAMA

KALABAKAN, 21 Jun: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membelanjakan sehingga RM200,000 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi memindahkan enam gajah liar dari Felda Umas di sini ke Hutan Simpan Gunung Rara, melalui Operasi Translokasi.

Ketua Unit Perancangan Perladangan Felda, Izham Mustaffa berkata operasi translokasi itu bagi memelihara kawasan serta tanaman sawit di Felda Umas daripada ancaman gajah liar, di samping memastikan gajah-gajah liar tidak dicederakan atau dibunuh.

“Hal ini antara langkah proaktif Felda bagi menghindar kerosakan tanaman sawit (kos penanaman) melebihi RM430,000 daripada serangan gajah itu, di samping menyelamatkan haiwan berkenaan daripada ancaman kepupusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izham berkata Felda juga membelanjakan lebih RM200,000 untuk pembaikan pagar elektrik dan parit gajah sepanjang 44,176 meter di kawasan Felda Umas.

“Serangan gajah liar di Felda Gugusan Umas semakin kritikal dan membawa risiko keselamatan, kerosakan harta benda dan tanaman ladang di Gugusan Umas,” katanya. 

Menurutnya, pihak pengurusan ladang mencari alternatif untuk mencapai resolusi komprehensif, jangka panjang dan usaha ini melibatkan penangkapan gajah-gajah liar tersebut.

Hari ini, seekor gajah bernama Umas dipindahkan ke Hutan Simpan Gunung Rara, Luasong, terletak lebih kurang dua jam perjalanan atau 100 kilometer dari Felda Umas.

Proses pemindahan Umas yang menggunakan jentera Jabatan Hidupan Liar (JHL) itu turut diring lebih 10 pacuan empat roda termasuk daripada Felda dan Pejabat Daerah Kalabakan berjalan lancar tanpa sebarang insiden pada 1.00 tengah hari.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JHL Sabah Dr Sen Nathan berkata Umas berketinggian enam kaki dan dipercayai berumur lebih 20 tahun itu berjaya ditangkap pada Jumaat lepas.

“Umas adalah gajah yang keenam dipindahkan, sebelum ini kita sudah pindahkan lima ekor dan kita percaya ada lagi empat ekor yang masih berada di sekitar kawasan ini,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *