Sabah Benarkan Majlis Kerajaan & Swasta Dengan Kapasiti 150 Orang

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan penganjuran persidangan, seminar dan kursus dengan kapasiti tidak lebih 150 orang bergantung kepada saiz ruang dan penjarakan sosial di lokasi penganjuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dengan kebenaran itu, pelaksanaan majlis-majlis anjuran kerajaan dan swasta boleh dilakukan dengan mematuhi tatacara prosedur operasi standard (SOP) Am Pelaksanaan Majlis Kerajaan dan Swasta yang disediakan.

Beliau menerusi satu kenyataan hari ini berkata, SOP Am ini wajib dipatuhi setiap agensi kerajaan dan swasta yang ingin menganjurkan mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah dan majlis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menerusi tatacara SOP Am, penganjuran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan. Pesakit dibawah siasatan (PUI) juga tidak dibenarkan hadir mana-mana majlis yang diadakan.

Selain itu, penganjur dan urus setia perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk, peserta perlu menggunakan pensanitasi tangan dan digalakkan memakai pelitup muka. Penjarakan sosial sekurang-kuranganya satu meter hendaklah diamalkan semasa menunggu giliran menjalankan saringan.

Semua penganjur juga perlu mendaftarkan peserta melalui penggunaan kod QR melalui aplikasi Sabah Trace dan peserta yang tidak mempunyai telefon pintar perlu mendaftar secara manual.

Kehadiran peserta tidak boleh lebih daripada 150 orang tertakluk kepada saiz ruang.

Peserta juga tidak dibenarkan berkongsi bilik sekiranya perlu menginap semasa penganjuran majlis-majlis yang diadakan.

Untuk peserta pula, peserta yang didapati suhu badannya melebihi 37.5 celcius dan bergejala tidak akan dibenarkan masuk menghadiri majlis yang diadakan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *