Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, Kes Aktif Kekal Tujuh

KOTA KINABALU: Bilangan kes aktif Covid-19 di Sabah kekal tujuh susulan tiada sebarang kes baharu dilaporkan hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, Penampang mencatatkan bilangan kes aktif tertinggi dengan tiga kes, diikuti Tuaran dua kes dan masing-masing satu kes di Tawau dan Papar.

Sementara itu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini kekal sebanyak 364, manakala seramai 350 orang telah sembuh daripada jangkitan itu sejak Mac lalu.

Kes kematian di Sabah kekal sebanyak tujuh kes dan tiada sebarang kematian dilaporkan hari ini.

Di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat 15 kes baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 8,587.

Daripada 15 kes itu, dua adalah kes import manakala selebihnya adalah penularan tempatan yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 289 kes Covid-19 yang masih aktif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 8,177 apabila 21 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Manakala, bilangan kematian di seluruh negara kekal 121 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

541