Wanita Kaki Tipu Di Tiga Negeri Ditahan Di Labuan

Gambar Hiasan

LABUAN: Seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian di tiga negeri bernilai RM15,000 pada 15 Jun lalu.

Modus operandi kegiatan pembelian telefon bimbit itu adalah menerusi platform media sosial iaitu Facebook, yang mana barang dijual tidak ada, manakala syarikat (seperti dalam Facebook) tidak berdaftar.

Ketua Polis Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita berusia 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Wanita berkenaan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Labuan pada 4.30 petang kerana disyaki terbabit dalam penipuan menjual telefon bimbit dalam talian.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan tiga akaun bank untuk menjalankan kegiatan penipuan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhamad Farid berkata mangsa penipuan dari Luyang, Kota Kinabalu; Sarikei dan Mukah di Sarawak dan di Pulau Pinang.

Katanya, kes berkenaan dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Suspek dibebaskan atas jaminan polis.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *