Penjenayah Dikehendaki EssCom Ustaz Mamay Ditembak Mati

LAHAD DATU: Seorang daripada 21 penjenayah yang dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Ustaz Mamay Aburi ditembak mati pasukan keselamatan Filipina di Zamboanga minggu lalu.

Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata, kejayaan itu hasil perkongsian maklumat risikan antara pihaknya bersama Philippines-Western Mindanao Command (Westmincom), sehari sebelum Ustaz Mamay ditembak mati pada 8 Jun lalu.

“Ustaz Mamay yang juga Ketua Jemaah Group Zamboanga De Norte, adalah antara individu terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan anggota JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) di perairan Mataking, Semporna, pada Disember tahun lalu membabitkan 50 das tembakan dilepaskan kepada bot pihak berkuasa negara.

Gambar keseluruhan penjenayah rentas sempadan dikehendaki, yang dikeluarkan ESSCOM sebelum ini.

“Kita memang mendapat maklum balas baik daripada Filipina dalam usaha membanteras  jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) yang sering dilakukan Abu Sayyaf dan sekutunya ke atas komuniti maritim di pantai Timur Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, terdahulu Esscom berjaya menahan tiga lelaki warga Filipina di perairan Laut Kinabatangan, dipercayai sebagai ‘mata-mata’ kepada kumpulan KFR, pada 6 Jun lalu.

“Mereka ditahan ketika pihak berkuasa melakukan rondaan di situ sebelum menyerahkan kepada pasukan keselamatan Filipina yang kebetulan melakukan di sempadan perairan negara berkenaan.

“Ia bertujuan bagi mengelak penambahan bilangan pendatang asing tanpa izin di pusat tahanan sementara (PTS) selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Menurut Hazani, terdapat satu cubaan penculikan baharu berjaya dibanteras menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga kes sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2425