KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili serta Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bahawa pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci tidak layak untuk menerima IMM13.
Ketua Menteri berkata, ini kerana pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah warga asing dari Filipina yang masuk ke Sabah secara haram tetapi diberikan dokumen tersebut oleh parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa mereka memerintah Sabah suatu ketika dulu.
Katanya, berbanding IMM13, pemegangnya adalah pelarian perang yang diiktiraf oleh Pertubugan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), justeru mereka diberikan dokumen tersebut untuk tinggal di negeri ini.
“Pertama IMM13 yang kedua bancian yang ketiga Burung-Burung, ada tiga kertas, sekarang ini masuk dalam satu iaitu IMM13, Burung-Burung hilang bancian hilang.
“IMM13 ialah dokumen PBB putuskan dahulu kerana dia merupakan pelarian suaka politik dari Filipina untuk diselamatkan di Sabah, maka diberikan IMM13.
“Yang bancian ini yang masuk keluar masuk (antara Sabah dan Filipina), Burung-Burung zaman Berjaya sekarang masuk dalam satu dokumen, mana Jeffrey, mana Jonathan dan mana Maximus yang jadi menteri jaga hal ehwal Sabah?,” soal beliau.
Tegas beliau, kuasa mengeluarkan dokumen itu bagaimanapun milik Kerajaan Persekutuan justeru mereka boleh melaksanakannya jika mahu.
Bagaimanapun katanya, IMM13 hanya sekeping kertas berbanding Pas Sementara Sabah yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan termasuk maklumat biometrik seseorang.
“Yang mengeluarkan ini Kementerian Dalam Negeri saya sudah suarakan banyak kali tapi malangnya ada orang yang buat demonstrasi menyatakan ini perlu diatasi, menteri dulu yang sekarang jadi Perdana Menteri cadangkan supaya ada PSS, sekarang ini pun dah menteri baharu nak cadangkan supaya semua masukkan dalam IMM13.
“Dulu PSS menggunakan biometrik supaya lebih jelas lebih telus kerana mata tidak boleh diubah-ubah kalau diubah mata dia, dia buta tapi IMM13 hanya dokumen plastik maca IC, dulu kita katakan ada tiga kertas,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, ketiga-tiga pemimpin Kerajaan Persekutuan iaitu Jonathan, Maximus dan Jeffrey sepatutnya sedar dengan hal tersebut dan menentang bukannya menyokong apa sahaja dasar Putrajaya selepas masing-masing mendapat jawatan.
“Saya tidak mahu bertekak dengan rakan sabahan kita mesti bersatu ada kesedaran tentang kepentingan Sabahan tapi kita kena faham jangan hanya perkara seumpama ini kalau kita bicang itu haram bila dia dilantik menteri itu halal, jadi bertempat, dia punya dokumen ini boleh pakai kalau jadi menteri, tidak boleh pakai kalau tidak jadi menteri,” katanya.- BorneoToday