Tular di media sosial baru-baru ini dimana seorang sumandak (gadis) anak jati Pitas, Sabah yang tinggal di kawasan pedalaman membuat ‘challenge’ berada di atas pokok selama 24 jam.
Rakaman video penuhnya disunting kembali dan telah dimuat naik ke channel Youtube miliknya; Veveonah M. pada 13 Jun lalu.
Walaupun sebagai seorang wanita yang sinonim dengan sifat lemah lembut, namun itu tidak menghalangnya untuk mencabar diri menjalani tempoh survival bersendirian di hutan.
Seorang warga Facebook, Sulhelmi Abdul Majik III berkongsi ulasannya mengenai gadis tersebut.
Mari baca perkongsiannya di bawah ini:
Dia begini, adik Veveonah Mosibin ni pelajar Asasi Sains sebuah IPT Awam. Anak kelahiran Pitas. Masih muda, baru 18 tahun. Perempuan.
Mungkin disebabkan pandemik Covid-19 beliau diizinkan untuk pulang ke rumah. Dia memang ada saluran Youtube sendiri, di situ lah dia selalu kemas kini aktiviti harian yang dia buat.
Dan macam biasa, lahir dari latar belakang etnik yang mahir bertani, diorang semestinya ada ladang atau kebun yang diusahakan sendiri.
Kalau diikutkan cerita adik kita ni dia memang ada bina sebuah pondok di atas bukit untuk tujuan dia ambik ujian secara atas talian ni. Satu masalah tempat dia tinggal ni. Liputan internet kadang-kadang “lidut”.
Malangnya sebab sibuk membantu keluarga di kebun, mungkin mengurus tagad (padi huma) atau jagung mereka, selain juga menolong menoreh getah, jadi dia tiada masa untuk jenguk pondok yang telah siap dibina.
Jadi beberapa hari sebelum tu memang ada angin kuat dan hujan lebat, tak sangka disebabkan itu pondok dia bina musnah.
Memandangkan sebelah pagi dia akan mengambil ujian kimia dan sebelah petang pula Pengajian Malaysia, mana dia terpaksa mengulang kaji lagi apa yang patut, mahu tak mahu terpaksa la dia panjat salah satu pokok yang terdapat di kawasan bukit tu untuk pastikan dia mendapat liputan internet jalur lebar yang baik.
Kelambu, power bank dan bermalam sunyi
Hanya berbekalkan kelambu, “power bank”, bekalan air dan bungkusan nasi tradisi atau dikenali sebagai linopot yang dibawa dia pun gagahkan diri untuk mengambil ujian sebelah pagi dan petang.
Tamat ujian atas talian dia tak terus balik, dia tidur sepanjang malam di atas pokok tu berbekalkan apa yang dia ada dan hanya pulang keesokan pagi nya.
Bila saya baca tu, saya macam! Wow!! Masih muda! Baru 18 tahun! Perempuan lagi tu!! Habiskan masa selama 24 jam sendiri-sendiri di kawasan bukit dan tidur sepanjang malam di kawasan belukar di atas sebatang pokok.
Sendiri-sendiri! Bermalam! Seorang perempuan! Dalam usia yang begitu muda!! Adui benda pertama timbul di fikiran saya terus tak takut ka kalau tiba-tiba ada entiti yang mengusik malam? Ada rambut panjang mengurai tiba-tiba masuk kelambunya ka? Serius la!
Bahkan dia sendiri mengalami detik-detik mencemaskan bila seekor tebuan tersesat masuk dalam kelambunya tu.
Bukan mau merendahkan orang perempuan aahh, tapi biasanya kebanyakan waktu kalau perempuan lain di tempat dia ni sudah kelam-kabut tu! Lipas terbang jak pun huru-hara sudah.
Memang bukan calang-calang la adik ni! “Salute”.
Survive dengan linopot
Sama satu lagi yang buat saya tertarik. Bekalan linopot yang dia bawa tu.
Linopot ni kalau bahasa Dusun maksud dia bungkusan. Berasal dari kata ‘lopot’ maksudnya bungkus.
Kalau ikut tradisi betul-betul untuk menghasilkan linopot bahan utama yang mesti kita gunakan adalah padi huma/padi bukit.
Ia boleh jadi nasi semata-mata, atau kadangkala nasi yang digaul dengan gu’ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubi kayu) atau kasou (keledek).
Daun untuk membungkus pun ada macam-macam. Biasanya ada 7 jenis tu antaranya wonihan, punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tintap, longkobung dan toropoi. Mulai dari wonihan sama kobu ni saya ‘lost’ suda tak tahu apa terjemahan dalam bahasa Melayu.
Setiap satu helai daun mencipta aroma tersendiri. Sekaligus menjadikan rasa linopot tu sendiri unik.
Dengan sikut-sikut nya lagi, semua keperluannya dia isi di situ. Memang unik la. Pemandangan yang jarang.
Daripada kesukaran yang ditempuhi dalam hidup, saya yakin itu semua ibarat satu proses untuk menghasilkan berlian yang sangat berkualiti. Semoga adik kita ni lulus dengan cemerlang dalam ujian yang dia ambil.
SumbeR: Suhelmi Abdul Majik III / SiakapKeli