SOP Hari Raya Haji Kekal Untuk Raya Pertama Sahaja Dengan Jumlah 20 Orang Maksimum

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan bahawa sambutan hari raya Aidiladha di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti sambutan Aidilfitri lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP sambutan hari raya Aidiladha adalah pada hari raya pertama sahaja dengan jumlah maksimum ziarah raya seramai 20 orang di dalam rumah pada satu-satu masa.

”Kebenaran untuk menyambut hari raya adalah hari pertama dengan SOP 20 orang, hari raya pertama sahaja dibenarkan. Jadi selepas itu, tidak ada lagi lah sambutan hari raya,” kata beliau.

Jelas beliau, walaupun ramai yang akan pulang ke kampung dan melawat saudara-mara, SOP asas iaitu penjarakan sosial, mencuci tangan dengan kerap dan memakai topeng muka perlu diamalkan.

”Walau bagaimanapun, saya tahu yang balik ke kampung akan berada di rumah masing-masing, rumah ibu bapa melawat, mungkin pergi ke rumah saudara-mara dan sebagainya.

”Tetapi SOP asas kita tetap kekal iaitu penjarakan sosial, mencuci tangan dengan sabun, sentiasa memakai topeng muka dan oleh kerana penjarakan sosial, cubalah kalau di rumah yang kecil tentulah mungkin kurang daripada jumlah yang kita pernah benarkan dulu. 

”Kalau boleh, tak perlu lah ramai dalam satu rumah, kerana seperti saya katakan tadi lebih ramai yang berada di dalam rumah dengan keadaan tertutup dan sebagainya, ianya lebih membahayakan,” kata beliau.

Sumber: Sidang Media PKPP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1422