COVID-19: Satu Lagi Kematian Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat satu lagi kes kematian menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini, kini sebanyak tujuh orang.

Ia juga hari kedua berturut-turut negeri ini mencatatkan kes kematian selepas seorang warga emas berusia 85 tahun di Keningau, kelmarin.

Kes kematian terbaharu di Sabah itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini.

“Mangsa terbaru melibatkan seorang wanita warga negara Malaysia berusia 96 tahun yang meninggal di rumah di Sabah pada 12 Jun lalu dan didapati positif setelah jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth. Punca jangkitan masih dikesan,” katanya.

Noor Hisham berkata, satu kematian baharu itu juga antara kes jangkitan yang baru dilaporkan, menjadikan jumlah kematian sebanyak 120 orang.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 43 lagi kes Covid-19 baharu dicatatkan di Malaysia, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 8,445.

Daripada kes baharu itu, lima kes diimport, membabitkan empat rakyat Malaysia dan seorang penduduk tetap.

Sementara itu, daripada 38 jangkitan tempatan, 15 membabitkan rakyat Malaysia, dan 23 lagi bukan warga negara Malaysia.

“Sebanyak 21 kes telah dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil yang telah dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur, oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah.

“Satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang,” katanya.

Bagi jangkitan tempatan Malaysia, tujuh dikesan dari sekolah Tahfiz, iaitu dua di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, dan masing-masing satu di Perak dan Melaka.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *