Penjenayah Cuba Langgar Polis Mati Ditembak Di Kudat

Van dipandu suspek yang cuba melanggar anggota polis dalam kejadian di Kampung Sungai, Karang, Kudat.

KUDAT: Seorang penjenayah ditembak mati selepas cuba melanggar anggota polis dengan van dipandunya membawa bersama muatan barangan curi, di jalan Kampung Sungai Karang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, lelaki berusia 40-an mati di tempat kejadian akibat tembakan yang terkena di bahagian leher suspek.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan sebuah van disyaki membawa muatan barangan curi berada di sekitar pekan daerah ini.

Katanya, pasukan polis kemudian menjalankan rondaan dan menemui van berkenaan yang sedang parkir bersebelahan dengan sebuah restoran yang dinaiki dua lelaki dengan enjinnya masih hidup.

“Anggota polis kemudian mendekati van itu dan cuba membuat pemeriksaan, namun van dipandu suspek bertindak mengundurkan kenderaan dan mahu melanggar salah seorang anggota polis.

“Situasi itu menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan dan mengenai tayar di bahagian belakang, namun suspek terus memecut kenderaannya sebelum dikejar oleh pasukan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Firdaus berkata, van dipandu suspek kemudian masuk ke kawasan kebun kelapa sawit dengan jalan berbukit di Kampung Sungai Karang.

Katanya, anggota polis terus mengejar dan berjaya memintas van dinaiki suspek dan ketika anggota polis menghampiri van itu untuk pemeriksaan, suspek terus menekan pedal minyak dan cuba merempuh anggota polis.

“Keadaan itu menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan untuk tujuan mempertahankan diri.

“Selepas tembakan itu, van berkenaan terus terbabas ke kawasan semak.

“Pemandu van itu kemudian keluar daripada kenderaan dan terus rebah manakala rakannya berusia 20-an yang cuba melarikan diri namun berjaya dihalang dan berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek diberkas,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas van itu menemui pelbagai komponen kenderaan dipercayai dicuri oleh kedua-dua suspek.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Pulau Banggi dan Semporna.

“Kedua-dua suspek ini juga dipercayai terbabit 20 kes jenayah membabitkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Kes siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *