KOTA KINABALU: Purata kes keracunan makanan di Sabah meningkat 65.6 peratus pada tahun lalu, dengan bilangan kes yang dicatatkan adalah sebanyak 2,763 kes.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, secara purata kes keracunan makanan yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 1,668 kes setahun bagi tempoh 2014 hingga 2018.
Namun, jumlah itu meningkat kepada 2,763 kes tahun lalu. Keadaan ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pemegang taruh dalam sektor penyediaan makanan.
“Atas sebab itu, keselamatan makanman dan rantaian makanan perlu dipelihara sebaik mungkin supaya keracunan makanan kepada pengguna tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurutnya, setakat 6 Jun tahun ini, sebanyak 380 kes keracunan makanan dilaporkan di Sabah.
Katanya, jika dilihat pecahan mengikut daerah, Kota Kinabalu merekodkan bilangan kes keracunan makanan tertinggi setiap tahun.
Pada 2015, kes keracunan di Kota Kinabalu adalah sebanyak 641 kes dan jumlah itu meningkat kepada 811 kes pada tahun lalu.
Dengan itu, Christina mengingatkan penyedia makanan supaya mengamalkan penjagaan keselamatan makanan yang baik dalam mengamalkan norma-norma baharu bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.
Lima kunci keselamatan makanan yang perlu diamalkan adalah mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan; asingkan makanan mentah dan sudah dimasak; masak dengan cara yang betul; simpan makanan pada suhu yang selamat; serta gunakan air dan bahan mentah yang selamat.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost