Adik Cam Jenazah Abang Melalui Gigi Mangsa

MAYAT NURUL MASLAN DITEMUI, ADIK CAM JENAZAH MELALUI GIGI MANGSA

TAWAU; 08 JUN 2020 (Isnin): “Saya pasti betul-betul dia abang saya, Saya cam jasad arwah melalui Giginya”.

Demikian dinyatakan adik mangsa, Ismail Sabran semasa mengecam satu mayat lelaki ditemui terapung di Perairan Sungai Taiwan, berhampiran sempadan Indonesia – Malaysia, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Menurut Ismail, beliau mengesan jasad Nurul Maslan Sabran, 34 tahun selepas mendapati satu gigi atas sebelah kanan atas jasad berkenaan tiada.

Beliau berkata, pada awalnya semasa pengecaman, beliau sukar mengecam mangsa bagaimanapun, pakaian dan jam tangan yang digunakan adalah milik Nurul Maslan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau, di Tawau.

Mayat Nurul Maslan ditemui penduduk Kampung dalam keadaan terapung di Perairan Sungai Taiwan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa dan dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat.

Jelas Ismail, jenazah abangnya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam di Batu 2 selepas bedah siasat selesai dilakukan.

Tinjauan RTM di Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau mendapati, isteri, anak, adik-beradik, ahli keluarga dan sahabat handai mangsa berlegar di ruang menunggu kawasan berkenaan.

Difahamkan, mangsa meninggalkan isteri, Ungu Kalsum Abdul Aziz, 32 tahun dan tiga anak perempuan berumur dua hingga tujuh tahun iaitu Nur Izzah Maisarah, Nur Wanie Ramadhanie dan Nur Alisyah Nadira.

Jumaat lepas, Nurul Maslan keluar bersendirian dari Cowie Bay kira-kira pukul 5 petang ke kebunnya, di Sungai Melayu Pulau Sebatik dengan menjuragani sebuah perahu.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak pulang kerumah dan disyaki telah hilang di laut.pada hari yang sama, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan Ops Benteng menemui sebuah perahu tanpa pengemudi dengan keadaan enjin masih hidup diperairan Ice Box kira-kira pukul 5.50 petang.

Satu operasi SAR kemudian diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengesan mangsa dengan bantuan PPM, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kesemua agensi keselamatan menggerakkan aset masing-masing dan operasi SAR turut dibantu keluarga serta penduduk Kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Anak Umbuas yang dihubungi pemberita RTM mengesahkan penemuan mayat lelaki merupakan mangsa hilang ketika dilaut.Bagaimanapun, laporan lanjut berhubung perkara itu akan dikongsikan kepada media.

#BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *