Tetak Dahi & Tangan Isteri Kerana Tidak Puas Hati Ditegur

Suspek berusia 37 tahun bertindak menetak isterinya selepas berang ditegur.

KOTA KINABALU: Seorang wanita cedera di dahi dan kedua-dua tangannya selepas ditetak dengan parang oleh suaminya dipercayai kerana menegur suspek tidak pergi kerja dalam kejadian di bilik sewa mereka di Kampung Sinulihan, Inanam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.28 malam, mangsa berusia 31 tahun dikatakan menegur suaminya kerana tidak pergi kerja selama empat hari selain melarangnya terbabit dalam pengambilan dadah jenis syabu.

Berikutan itu, suspek tidak puas hati dan menuduh mangsa memberitahu hal berkenaan kepada jiran tetangga lalu berlaku pertengkaran sebelum menetak isterinya dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek bertindak mengambil parang dan menetak mangsa namun isterinya itu menahan parang berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya.

“Mangsa cedera di kedua-dua belah tangannya. Suspek kemudian melibas parang sekali lagi ke arah mangsa dan terkena pada dahinya.

“Kejadian itu disedari oleh jiran mereka yang meleraikan pergaduhan sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, sepasukan polis yang tiba sebaik menerima maklumat itu bertindak menahan suspek dan merampas senjata jenis parang yang digunakannya.

“Mangsa yang luka dan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. Mangsa menerima beberapa jahitan di tangan kanan dan kiri.

“Suspek berusia 37 tahun didapati positif dadah jenis syabu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.-HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2500