Pilihan Raya Mengejut Membazir, Lebih Baik Undi Tidak Percaya

Ma’mun Bin Sulaiman

KOTA KINABALU: Mengatasi kemelut politik negara ketika ini sebenarnya tidak perlu dipanjangkan sehingga membawa kepada pembubaran Parlimen, sebaliknya cara yang paling mudah adalah bentang usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat.

Biar wakil rakyat mengundi dan menentukan siapa sebenarnya yang mereka sokong sama ada kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kem Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH).

Tetapi sudah tentu PN tidak mahu Dewan Rakyat dijadikan penentu kerana jika PN kecundang, maka pemimpin-pemimpin UMNO akan kembali menjadi pembangkang, iaitu perkara yang sukar diterima mereka selepas digulingkan oleh rakyat pada 2018.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin UMNO kini melaungkan agar pilihan raya mengejut diadakan kerana berharap rakyat telah melupakan segala dosa UMNO ketika mentadbir yang sebenarnya tidak sama sekali.

Lagi pun, dalam situasi negara kini sedang berusaha memutuskan rantaian wabak Covid-19, pilihan raya adalah cadangan dangkal kerana akan melanggar segala norma baharu seperti penjarakan sosial dan mengelakkan perhimpunan ramai berikutan penganjuran kempen pilihan raya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Bin Sulaiman berkata, segala kerja keras pejuang barisan depan negara terutama pasukan kesihatan diketuai Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah akan menjadi sia-sia.

“Mungkin UMNO mahu Covid-19 kembali merebak sehingga mencadangkan PRU-15 diadakan, mereka tidak memikirkan langsung bagaimana penderitaan pasukan petugas kita dan rakyat ketika berdepan Covid-19.

“Sebab itulah lebih mudah tentukan siapa kerajaan sebenar melalui majoriti di Dewan Rakyat, kerana di situ langkah pencegahan Covid-19 boleh dilakukan,” katanya.

Menurut Ma’mun, kos untuk melaksanakan pilihan raya juga mencecah RM800 juta, justeru dengan keadaan ekonomi negara yang merudum ketika ini, amatlah membazir untuk membelanjakan jumlah wang tersebut pada masa ini.

“Kerajaan sudah membelanjakan ratusan bilion untuk menangani Covid-19 tetapi masih ada rakyat yang kelaparan, jadi perlukan belanjakan lagi RM800 juta sedangkan wang itu boleh digunakan untuk membantu rakyat?

“Jangan heret rakyat dengan pelbagai masalah, ini bukan masanya untuk mengundi kerana tempoh masih ada tiga tahun, PN sepatutnya kembalikan mandat berkenaan kepada PH,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ma’mun meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tepat mengembalikan semula mandat kepada PH.

“Kita menjunjung Tuanku sebagai Ketua Negara dan dengan kebijaksanaan baginda, sudah tentu PH yang mempunyai sokongan majoriti adalah pemerintah yang sah, malah dipilih rakyat pada 2018,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4815