Lantikan GLC Di Sabah Berpengalaman, Lantikan PN Untuk Rasuah – Tun M

KOTA KINABALU: Pelantikan wakil rakyat sebagai pengerusi di syarikat milik kerajaan (GLC) hanya dibuat sekiranya pemimpin berkenaan mempunyai kebolehan untuk memikul tanggungjawab itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, atas sebab itulah Kerajaan Sabah membuat keputusan untuk melantik Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darrel Leiking dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman sebagai Pengerusi di dua GLC di Sabah.

“Masa Pakatan Harapan (PH) pun kita ada lantik orang yang ada kelayakan bukan sahaja ahli parti politik, tetapi kebanyakkannya adalah orang ahli profesional yang dilantik kerana kebolehan mereka,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini mengesahkan lantikan kedua-dua pemimpin berkenaan memandangkan mereka mempunyai pengalaman mentadbir kerana Darrel adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Mohd. Azis bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Darrel bagaimanapun dilaporkan masih belum mengesahkan sama ada mahu menerima atau menolak pelantikan berkenaan.

Mahathir bagaimanapun berkata, dalam pentadbiran Kerajaan Parikatan Nasional (PN) ketika ini, pembelian pemimpin terang-terangan berlaku untuk memastikan PN kekal berkuasa.

Katanya, perkara itu berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila pemimpin yang tidak bersetuju dengan kerajaan dipanggil dan ditanya apa yang mereka mahukan.

“Contohnya walaupun tiada rasuah nyata, tetapi ahli saya yang tidak menyokong kerajaan dipanggil dan ditanya sama ada mereka mahukan sesuatau untuk diri sendiri, apa yang mereka mahukan, mereka boleh namakan apa sahaja dan akan diberikan.

“Apa yang diberikan adalah jawatan yang memberikan banyak pulangan contohnya jika mereka kata dapat pangkat seperti menteri akan dibayar sama dengan banyak, maka ramai mereka dilantik kerana mereka mahu secara tidak langsung mrasuah orang-orang ini dan malanya ramai yang mengalah,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan PN kini kembali kepada zaman Najib iaitu ahli politik dibeli dengan jawatan untuk memastikan sokongan mereka.

“Selepas dua tahun Kerajaan Pakatan Harapan membersihkan banyak institusi dan GLC serta kita letakkan golongan profesional, mereka kini dipecat dan digantikan dengan ahli politik.

“Maka kita kini kembali ke zaman Najib apabila ahli politik diberikan jawatan menarik, jadi ini sedang berlaku justeru sampai masanya nanti saya rasa benda lebih teruk akan berlaku, sama ada kerajaan mampu menangani keadaan semasa adalah sesuatu yang kita bimbang,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *