9 Pelajar IPT Berasal Dari Sabah Disahkan Positif Covid-19

KOTA KINABALU: Seramai sembilan pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia dan Sarawak disahkan positif Covid-19, setakat semalam.

Kesemua kes positif itu dikesan melalui pengambilan sampel yang dilakukan melalui Program Jom Balik, negeri Sabah dimana, semua pelajar IPT yang tiba dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

Beliau berkata, sepanjang wabak Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga telah melaksanakan

saringan bersasar dalam kalangan pelajar dan pelatih yang terkandas di 36 institusi yang telah dikenalpasti di seluruh Sabah.

Dengan itu, sebanyak 5,266 sampel telah diambil dan terdapat tiga sampel positif dikesan. Kes positif yang dikesan ini melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, sehingga 28 Mei, seramai 6,794 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 1,612 orang masih berada di 52 buah Pusat Kuarantin di seluruh Sabah dan tidak ada pelanggaran dilaporkan.

Christina berkata, JKNS mengingatkan setiap individu yang diarahkan untuk dikuarantin perlu melaksanakan perintah ini dengan penuh tanggungjawab.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh pengawalan penularan jangkitan Covid-19, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memeriksa sebanyak 889 premis pada 28 Mei dan tidak ada pelanggaran dilaporkan.

Katanya, dalam usaha mengamalkan norma-norma baru, JKNS juga ingin mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama bertanggungjawab memastikan pelitup muka yang telah digunakan dilupuskan dengan cara yang betul untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 dan menjaga kebersihan persekitaran.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *