Semua Kes Covid-19 Di Penampang Telah Sembuh

KOTA KINABALU: Penampang menjadi daerah ke-19 di Sabah yang tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19.

Daerah Penampang merekodkan 12 kes setakat ini dan satu kes terakhir telah pulih hari ini.

Setakat ini, hanya tujuh daripada 26 daerah di Sabah masih merekodkan kes aktif dengan bilangan kes aktif adalah sebanyak 24 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, tiada sebarang kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini dan bilangan kes yang pulih sebanyak sembilan kes.

Katanya, bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 326 kes. Kes kematian di Sabah kekal dengan lima kes.

Beliau berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes aktif tertinggi dengan lima kes, diikuti dengan Tawau yang mencatatkan empat kes aktif. Manakala dua kes dilaporkan di Semporna serta satu kes masing-masing di Lahad Datu, Kinabatangan, Tuaran dan Ranau.

Menurutnya, daripada 19 daerah yang tidak merekodkan kes Covid-19 setakat ini, tujuh daerah tidak pernah merekodkan sebarang kes positif. Ia termasuk Kudat, Pitas, Telupid,Tongod,Nabawan,Tenom dan Kuala Penyu.

Sebanyak 30 kes baharu positif dilaporkan di Malaysia hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 7,762 kes.

Manakala, terdapat 95 kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 6,330 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 115 kematian.

Seramai sembilan pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *