Rakyat & Kerajaan Perlu Bersama Perangi COVID-19

KOTA KINABALU: Semua pihak dari kerajaan mahupun rakyat perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu penting kerana memerlukan semua masyarakat dalam negeri ini untuk bersatu dan berpadu dalam mengelakkan wabak ini daripada terus merebak.

“Kerajaan Sabah telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini.

“Pelaksanaan langkah-langkah ini bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan rakyat untuk meraikan perayaan.

“Semua yang kita lakukan ini sudah tentu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak ini daripada terus berjangkit,” katanya dalam ucapan perutusan sempena sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Tahun 2020, di sini semalam.

Beliau berkata, seperti yang sedia maklum, perayaan Kaamatan pada tahun ini agak mencabar apabila pandemik wabak COVID-19 melanda dunia, termasuklah negara dan negeri Sabah.

“Mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Huminodun, rakyat pada ketika ini juga seharusnya perlu melakukan sedikit pengorbanan.

“Dalam konteks perayaan ini, kita perlu mengorbankan keselesaan dan kebebasan kita dengan tidak meraikan perayaan ini secara besar-besaran dan sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Sabah adalah negeri yang unik di mana semua rakyatnya kekal bertahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisional yang telah diturunkan dan diwariskan sejak zaman berzaman.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semua rakyat Sabah hidup dalam keadaan harmoni, bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan etnik yang ada di dalam negeri ini.

“Tentunya, perpaduan yang kita nikmati di Sabah adalah contoh terbaik persefahaman dan kesatuan yang terdapat di Malaysia.

“Saya yakin, bahawa kita semua berbangga untuk berkongsi warisan budaya yang kita ada bukan sahaja dengan rakyat Malaysia, bahkan juga kepada dunia,” katanya.

Menurutnya lagi, menelusuri sejarah Kaamatan, pesta ini berkisar tentang legenda Huminodun yang telah mengorbankan diri bagi menyelamatkan kaum Kadazan Dusun Murut, pada suatu ketika dahulu, yang ditimpa bencana kebuluran kerana tidak mempunyai sumber makanan.

Kini katanya, Pesta Kaamatan diraikan sebagai tanda kesyukuran bagi masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut terhadap hasil tuaian padi yang banyak. Walaupun penanaman padi tidak lagi menjadi amalan pertanian utama masyarakat ini, ia masih merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan yang merayakannya sebagai tanda terima kasih.

“Mengambil semangat perayaan ini, marilah kita mengukuhkan dan meningkatkan lagi perpaduan, keharmonian dan kemakmuran di negeri ini.

Katanya, dengan perpaduan yang mantap, tentunya segala langkah, usaha dan perancangan untuk membangun serta memajukan negeri akan terus berjalan dengan lancar, akhirnya memberi manfaat kepada rakyat pada keseluruhannya.

“Bersempena dengan perayaan Pesta Kaamatan pada tahun ini, saya ingin mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan, khususnya kepada masyarakat Kadazan Dusun dan Murut yang meraikan perayaan tradisi warisan turun temurun ini,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

750