Covid-19: Dua Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, Empat Sembuh

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat dua kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang pernah direkodkan setakat ini sebanyak 346 kes.

Statistik yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dalam Facebook beliau hari ini, pertambahan itu membabitkan dua daerah iaitu masing-masing satu kes di Tawau serta Kota Kinabalu.

Bagaimanapun jumlah kes Covid-19 aktif di negeri ini menurun dua kes iaitu sebanyak 24 berbanding 26 kes, kelmarin.

Ini berikutan empat lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah ketika ini sebanyak 317.

Sementara itu, jumlah daerah yang mempunyai kes aktif dan dikategorikan sebagai zon kuning kekal lapan iaitu Kota Kinabalu yang mencatat lapan kes, Tawau (4), Lahad Datu (4), Kinabatangan (2), Tuaran (2), Semporna (2), Penampang (1), dan Ranau (1).

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,007, Selangor (1,873), Negeri Sembilan (852), Johor (674), Sarawak (552) dan Pahang (346).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5407