Dua Pasaraya Antara Tiga Premis Diarah Tutup Di Lahad Datu

KOTA KINABALU: Tiga premis di Daerah Lahad Datu termasuk dua premis perniagaan (supermarket) dan satu kedai runcit telah diarah tutup kerana pemilik premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, tiga premis itu dikesan melanggar peraturan selepas Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memeriksa sebanyak 964 premis pada 27 Mei 2020.

Selain itu katanya, pengukuhan Sistem Survelan Jangkitan COVID-19 untuk Sabah yang melibatkan saringan peniaga-peniaga telah dilaksanakan di beberapa pasar di daerah Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Keningau.

“Sebanyak 534 sampel telah diambil dalam kalangan peniaga pasar dan kesemua sampel berkenaan adalah negatif. Saringan sebegini akan diteruskan di daerah lain secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Christina berkata, pada 6 Disember 2019, satu kes Polio telah disahkan di Sabah dan sejak itu tiga lagi kes telah disahkan menjadi jumlah keseluruhan kes Polio setakat 28 Mei 2020 sebanyak empat kes.

Katanya, sebelum Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berdepan dengan wabak COVID-19, Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) telah rancak dilaksanakan di seluruh negeri.

“Kempen ini melibatkan pemberian bOPV (bivalent Oral Polio Vaccine) kepada kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun sebanyak dua dos.

“Kempen ini tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak 18 Mac 2020,” katanya.

Menurutnya, pencapaian setakat 28 Mei 2020 bagi dos pertama bOPV adalah 80.8 peratus dan bagi dos kedua pula adalah 47.1 peratus.

Katanya, kempen itu perlu diteruskan memandangkan peratusan bOPV dos kedua yang rendah dan keperluan untuk memulakan pemberian mOPV (monovalent Oral Polio Vaccine) sebanyak dua dos.
 
Justeru itu katanya, kempen imunisasi akan dipertingkatkan di semua daerah di  mana imunisasi bOPV dan mOPV akan diberikan kepada semua kanak-kanak di bawah 13 tahun disemua klinik kerajaan, stesen (post) statik seperti dewan dan stesen bergerak.

“JKNS yakin orang ramai sudah faham kepentingan imunisasi memandangkan semasa wabak COVID-19 ini, semua orang mengharapkan vaksin untuk melindungi daripada jangkitan ini dapat dihasilkan dengan segera.

“Seiringan dengan ini, JKNS ingin menyeru kepada semua ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang berumur di bawah 13 tahun yang belum lengkap imunisasi untuk mendapatkan vaksin Polio di mana-mana klinik atau stesen yang berdekatan.

“Bagi memastikan imuniti kelompok dicapai, peratus liputan imunisasi harus melebihi 95 peratus. JKNS berharap wabak Polio yang sudah berlarutan selama enam bulan dapat ditamatkan apabila imuniti kelompok dicapai,” katanya.

Christina berkata, JKNS ngin memaklumkan sehingga 28 Mei 2020, jumlah kes COVID-19 bagi Sabah kekal 344 kes. Pada 27 Mei 2020, sejumlah 2,317 ujian telah dijalankan, menjadikan jumlah kumulatif ujian bagi Sabah berjumlah 83,718. Daripada jumlah ini, dua sampel positif merupakan sampel ulangan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2490