PENAMPANG: Polis menahan dan memberi kompaun terhadap 57 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga premis di Jalan Bundusan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kesemua individu berumur 20 hingga 50 tahun yang berkumpul di dalam premis terbabit ditahan dalam satu operasi kira-kira jam 9.15 malam.
“Serbuan awal membabitkan tiga lelaki yang juga penjaga premis dan turut ditahan adalah 40 pelanggan lelaki manakala 14 yang lain adalah pelanggan wanita.
“Kesemua yang ditahan didapati berkumpul tanpa melakukan penjarakkan sosial iaitu kira-kira satu meter antara satu sama lain,” katanya.
Haris berkata kesemua individu dibawa ke IPD Penampang untuk tujuan dokumentasi dan kesemua dikompaun kerana melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (no6) 2020.
Dalam perkembangan lain 23 individu dikompaun sebanyak RM23,000 selepas didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Beliau berkata kesemua individu yang ditahan sudah menerima notis kompaun manakala tindakan selanjutnya akan diambil pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Orang ramai terutamanya penduduk sekitar sini dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) PKPB dan tidak berhimpun tanpa alasan kukuh selain sentiasa menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.
“Kita akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan mana-mana individu ingkar akan dikenakan tindakan setimpal,” katanya.- Utusan Borneo
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost