
KOTA KINABALU: Pertukaran kerajaan pada 2018 menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata pertukaran kerajaan itu menyebabkan penyelia pelaksana projek beralih tangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sepenuhnya.
“Fasa 1 membabitkan 11 pakej, iaitu sejauh 706 kilometer bermula dari Sindumin-Kota Kinabalu-Batu 32 Sandakan-Tawau dan juga jalan pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat, sepatutnya 32 peratus siap.
“Namun disebabkan masalah itu, terdapat kelewatan hingga projek berkenaan hanya mencapai 21.2 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Lebuhraya Pan Borneo dirancang sejauh 1,236 kilometer dan menjadi nadi penting penggerak ekonomi negeri itu.
Abdul Rahim berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat menyegerakan pelaksanaannya projek itu.
“Beliau berpengalaman dalam mengendalikan projek ini semasa menjadi Menteri Kerja Raya semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Rakyat Sabah amat berharap menteri dari Malaysia Timur ini dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan projek ini pada landasan betul dan dapat menyegerakan pelaksanaannya,” katanya. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost