‘Saya Tidak Pernah Khianati Perjuangan Rakyat Sabah’ – Jeffrey Kitingan

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan. -Foto Bernama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati perjuangan rakyat Sabah walaupun partinya telah memberikan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, perjuangan untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa diperjuangkan tidak kira di mana beliau berada.

“Tuduhan (oleh pihak tertentu) saya mengkhianati perjuangan rakyat Sabah tidak betul. Perjuangan itu (kembalikan hak-hak Sabah) saya angkat dan bawa di mana-mana saya pergi. Oleh sebab itu sebagai bukti bila kami menubuhkan kerajaan PN …PN telah bersetuju untuk menubuhkan satu kementerian baharu iaitu Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Kementerian baharu itu kami fikir lebih sesuai untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan daripada kabinet komiti sebab kabinet komiti hanya melakukan perbincangan dan tiada kesudahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jeffrey berkata, penubuhan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan memastikan pelaksanaan hak Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya juga mencadangkan isu Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam piagam PN dan dipersetujui …oleh itu jangan risau, saya sentiasa dengan perjuangan saya untuk Sabah dan Sarawak. Sebagai pemimpin itulah yang perlu kita lakukan,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya, Jeffrey berkata ia bertujuan untuk mendengar taklimat mengenai kementerian itu di Sabah agar perancangan di peringkat pusat dan negeri dapat diselaraskan khususnya mengenai industri pelancongan di negeri ini.

“Sektor pelancongan pada masa kini terjejas teruk akibat Covid-19 …bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh Malaysia dan kita tidak dapat jangkakan bila masalah ini akan pulih. Oleh itu kita perlu fikirkan beberapa cara agar industri pelancongan di negeri ini tidak ‘mati’.

“Oleh itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini kita mungkin boleh membuka beberapa industri pelancongan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia. Contohnya ‘jungle trekking’ dan banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *