Jeffrey Akui Tiada Bukti Tuduhannya Terhadap Warisan Beri Dokumen Kepada PATI

KOTA KINABALU: Datuk Dr. Jeffrey Kitingan gagal menunjukkan sebarang bukti ketika diminta berbuat demikian untuk mengesahkan tuduhan beliau sebelum ini kononnya Parti Warisan Sabah (Warisan) memberikan dokumen kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat dalam kebakaran.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu sebaliknya berkata, beliau hanya menganggap semua penghuni di kawasan setinggan adalah PATI, justeru apabila berlaku kebakaran dan kerajaan memberikan bantuan, penerima bantuan tersebut adalah PATI.

“Pendatang asing tinggal di mana sahaja tetapi selalunya kawasan setinggan seperti anda tahu di mana ada setinggan mereka ada di sana, jadi kita menumpukan kepada penghuni setinggan sebab kita risaukan penularan koronavirus daripada kumpulan ini,” katanya.

Jeffrey diminta wartawan memberikan bukti tersebut dalam sidang akhbar yang dihadirinya hari ini memandangkan beliau sebelum ini mempersoalkan bantuan yang diberikan kerajaan kepada mangsa kebakaran di kawasan setinggan yang dianggap sebagai PATI.

Jawapan dikemukakan Jeffrey ternyata membuktikan beliau hanya melakukan tuduhan liar terhadap Warisan selama ini, bagi memburuk-burukkan imej pemimpin Kerajaan Sabah yang tampil menghulurkan bantuan terutama makanan kepada mangsa kebakaran.

Hakikatnya, bukan semua penduduk di kawasan setinggan adalah PATI kerana masih ramai rakyat golongan berpendapatan rendah tinggal di kawasan seperti itu, maka apabila berlaku musibah kebakaran, kerajaan bertanggungjawab menghulurkan bantuan keperluan asas.

Sementara itu, ketika wartawan menjelaskan lagi soalan dan meminta beliau menunjukkan bukti tuduhan tersebut, Jeffry terus mengelak dengan menjelaskan tentang cadangan mahu menganjurkan forum bagi membincangkan isu PATI yang turut melanda Semenanjung.

“Sebab inilah kita merancang melakukan forum awam untuk melihat segala masalah dan untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama. Sekarang Semenanjung juga menyedari kesan negatif PATI.

“Kerajaan telah melakukan tindakan keras di Semenanjung dan sekarang mereka kata kita mesti jaga negara, kita mesti jaga Malaysia daripada orang luar oleh itu ini masanya mengatasinya di Sabah,” kata Jeffrey.

Kenyataan Jeffrey tentang forum itu turut mendapat kritikan memandangkan sudah terlalu banyak perbincangan diadakan sebelum ini oleh kerajaan terdahulu untuk mengatasi masalah PATI di Sabah.

Rakyat Sabah sebaliknya mahu supaya tindakan penguatkuasaan tegas diambil ketika ini bukannya sekali lagi duduk berbincang, namun akhirnya tiada tindakan susulan diambil terutama ketika era Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mentadbir Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *