KOTA KINABALU: Dua penganalisis politik menolak kemungkinan kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan yang menyokong Pakatan Harapan (PH), jatuh kepada Perikatan Nasional (PN), mengatakan gabungan yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu sendiri dalam kedudukan tidak teguh.
Mereka mengulas spekulasi Adun yang bersekutu dengan Warisan bersiap sedia bertukar kem selepas beberapa negeri yang dipegang PH jatuh kepada PN sejak Februari.
Timbalan Dekan Universiti Malaysia Sarawak, Arnold Puyok berkata wakil dari Sabah perlu berfikir 2 kali sebelum melompat parti berikutan kerajaan persekutuan “agak tidak stabil”.
“Berdasarkan penilaian saya, tidak ada tanda-tanda kerajaan pimpinan Warisan menghadapi sebarang krisis dalaman.
“Saya rasa ketika ini, Adun kita sangat berhati-hati. Mereka berhati-hati mengira langkah seterusnya berikutan ketidaktentuan politik di Semenanjung,” katanya kepada FMT.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berusaha untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat awal bulan ini.
Bagaimanapun, ia tidak dibentangkan kerana hanya titah Yang di-Pertuan Agong yang didengar dalam persidangan 1 hari pada 18 Mei.
Mahathir kemudian berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Muhyiddin, mengkritik penggantinya itu kerana berganding bahu dengan Barisan Nasional yang digulingkan PH pada pilihan raya 2018, dan mempersoalkan kesahihan pentadbiran semasa.
Di Sabah, ketiadaan kira-kira 24 wakil negeri untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Shafie Apdal mencetuskan dakwaan bahagian Umno negeri, yang diketuai Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin bahawa hari-hari Warisan berkuasa hampir berakhir.
Bagaimanapun, pemimpin Warisan menolak tanggapan itu, dengan menyebutnya sebagai “menggelikan hati”.
Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah bersetuju gabungan negeri itu, yang mempunyai 43 Adun berbanding 17 dari PPBM Sabah, Umno, PBS dan STAR, tidak mungkin akan runtuh melainkan sesuatu yang “tidak dijangka” berlaku.
Beliau mengakui sejumlah bekas Adun Umno dalam pakatan kerajaan, tetapi berkata kemungkinan tipis mereka akan belot sekali lagi.
“Saya tidak rasa mereka berani melakukannya jika tiada alasan yang kuat,” katanya kepada FMT.
“Jika mereka lakukan, mereka perlu bersedia untuk berdepan dengan rakyat atas tindakan mereka – itu sudah pasti memakan diri sendiri.”
Begitu juga, katanya Warisan mungkin tidak mahu bersekutu dengan Umno.
“Dan bagaimana mereka akan jelaskan kepada penyokong mereka tentang menyokong PAS? Sekiranya Warisan mencubanya, Upko mungkin tidak menyokong langkah itu, dan Warisan akan berdepan dengan kemarahan pengundi.”
Namun, beliau menambah dalam politik, “apa saja boleh terjadi”.
SumbeR: FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost