Boboy & Rakan Ditahan Di Kota Belud

Dadah yang dirampas daripada salah seorang suspek.

KOTA BELUD: Dua pengedar dadah ditahan polis di hadapan rumah tidak bernombor di Kampung Kota Belud, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJN) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud pada 8 pagi tadi.

“Tangkapan pertama membabitkan pengedar berusia 28 tahun yang membawa enam paket plastik mengandungi ketulan hablur iaitu syabu seberat 33.54 gram bernilai RM5,000.

“Suspek kemudiannya mengaku mendapatkan bekalan daripada rakan lelakinya dikenali ‘Boboy’ berusia 35 tahun yang juga pengedar dadah,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi sebelum menemui suspek kedua sedang bersembunyi di kawasan belukar tidak jauh dari rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik syabu seberat 5.49 gram bernilai RM750 pada suspek kedua,” katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek warga tempatan itu mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *