KOTA KINABALU: Seorang pengarah baru akan diumumkan minggu depan untuk mengetuai jabatan air negeri, menggantikan Amarjit Singh yang dipindahkan ke Unit Perancang Ekonomi negeri, menurut Menteri Infrastruktur Sabah, Peter Anthony.
“Ketika ini, seorang pegawai mengambil alih tugas-tugas pengarah. Seorang pengarah baru akan dinamakan minggu depan,” kata Anthony.
“Kerajaan mahu seorang pengarah yang berpengalaman, dan seseorang yang boleh menjamin kualiti perkhidmatan air.”
Amarjit dilantik ke jabatan air selepas Warisan mengambil alih kerajaan Sabah pada 2018. Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan pelantikannya tidak mengikut undang-undang. Kerajaan negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Anthony nafi kontrak 2 tahun Amarjit dipendekkan dan berkata pengarah itu hanya dipindahkan, yang menurut beliau tatacara biasa bagi penjawat awam.
Ditanya adakah kontrak Amarjit ditamatkan terlalu awal, Anthony berkata hanya Amarjit boleh menjawab soalan itu.
Beliau berkata kepakaran Amarjit mungkin diperlukan UPE negeri.
Kedudukan Amarjit dipersoalkan Yong Teck Lee, presiden Parti Maju Sabah, yang berkata kerajaan negeri bertindak curiga apabila Amarjit kini menjadi penasihat teknikal UPE negeri.
Beliau menuduh kerajaan negeri tidak telus berhubung jawatan di jabatan air negeri itu.
Bagaimanapun, Anthony berkata beliau tidak akan membincangkan perkara yang ditimbulkan oleh Yong itu, mengatakan rasa geram Yong itu masalahnya sendiri.
Anthony berkata jabatan itu agensi negeri yang sensitif dan penting, dan pengarah baru boleh menyelesakan masalah bekalan air di kawasan pedalaman, di mana banyak perkampungan masih bergantung kepada sistem graviti.
“Selalunya Kementerian Pembangunan Luar Bandar persekutuan yang akan menyelesaikan perkara ini. Tetapi saya fikir sekarang masanya kerajaan negeri terlibat dalam mengakhiri masalah itu, sama ada dengan memperbaiki sistem sedia ada atau memasang paip air,” katanya.
Yong berkata tindakan kerajaan negeri mungkin ada impak pada permohonan semakan kehakiman yang beliau failkan di mahkamah.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost