Dua Beradik Bina ‘Sekolah’ Dalam Hutan Di Sabah Untuk Terus Belajar

Rechellyna dan Ryverra Rinus membina sekolah sendiri puncak bukit untuk teruskan pembelajaran.

KENINGAU: Di puncak bukit berdekatan sebuah kampung kira-kira 100km dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, terdiri sebuah pondok di mana 2 beradik meneruskan pelajaran mereka walaupun penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan hampir semua aktiviti awam terhenti sejak pertengahan Mac bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Walaupun sekolah ditutup, aktiviti pembelajaran masih dijalankan secara atas talian.

Rechellyna dan Ryverra Rinus belajar di meja dan bangku kayu buatan sendiri di Puru Online.

Tetapi liputan internet di Kampung Bomboi, Keningau, hampir tidak ada, menjadikan pembelajaran atas talian hampir mustahil bagi Rechellyna Rinus, 17 dan adiknya Ryverra, 15.

Jika terdapat isyarat data di kampung mereka sekali pun, ia amat perlahan menjadikan aktiviti pembelajaran sangat mengecewakan dan menyebabkan mereka kerap tertinggal pelajaran.

Akhirnya Recellyna dan Ryverra membuat keputusan untuk “berpindah” ke lokasi lebih tinggi, iaitu tanah kebun sawit bapa saudara mereka.

Di tepi bukit tersebut, kira-kira ½ km dari rumah mereka, isyarat internetnya paling kuat.

Di situ, 2 beradik itu mula mengikuti pelajaran masing-masing melalui telefon bimbit secara bergilir-gilir. Mereka berdiri dan duduk bercangkung di situ di bawah panas matahari dan kadang-kadang hujan.

Keadaan itu tidak sesuai untuk belajar, lalu mereka membuat keputusan membina pondok sekolah sendiri dalam masa 2 hari.

Mereka menebang anak pokok dan dengan panduan daripada bapa saudara, membuat meja dan kerusi daripada batang pokok. Oleh sebab “sekolah” itu tidak berdinding, mereka membakar bekas telur untuk menghalau nyamuk.

Di luar pondok sekolah, mereka menggantung papan tanda yang tertulis “Welcome to Puru Online”. “Puru” dalam bahasa Dusun bermakna hutan.

Klip video yang merakamkan usaha 2 beradik ini dilihat oleh lebih 8,000 penonton di YouTube setakat ini.

“Jika mengantuk atau belakang anda sakit atau letih, anda boleh tidur di sini,” kata Rechellyna dalam video itu sambil menunjuk ke arah buaian rajut (hammock) yang diikat pada 2 batang pokok.

Malah terdapat juga dapur ringkas di situ yang digunakan oleh 2 beradik itu memasak alas perut bila berasa lapar semasa belajar.

“Sekarang bukan seperti dulu. Sekarang saya sangat gembira, kami boleh belajar dengan selesa.

Ibu saudara mereka, Flovea Ng memberitahu FMT bahawa Rechellyna dan Ryverra, yang mempunyai 2 adik lain, membangunkan Puru Online pada 28 April kerana tertinggal pelajaran akibat Covid-19.

“Mereka mahu membaiki hidup mereka dan keluarga. Mereka mahukan masa depan lebih baik.”

Ng berkata, Rechellyna mahu menjadi guru, sementara Ryverra bercita-cita menjadi doktor gigi.

“Syukur ada individu pemurah yang menyaksikan video mereka dan menyumbangkan komputer riba, modem dan pencetak bagi membantu pelajaran mereka.

“Mereka sangat teruja dan berterima kasih, sementara ibu bapa 2 beradik itu mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya.

SumbeR: FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8471