Tinggal Sehelai Sepinggang Menjelang Aidilfitri

KALABAKAN: Sebuah keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suram tahun ini apabila rumah mereka di Jalan Kebun Sapi, Kalabakan yang ditinggalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) musnah terbakar semalam.

Kejadian 12.30 tengah hari itu memusnahkan sepenuhnya rumah Lili Fatrah Jafri, 23, yang didiami bersama ibu dan bapa serta tiga adiknya.

Lili berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga berada di rumah nenek di Felda Umas dan dimaklumkan oleh jiran menerusi panggilan telefon kira-kira jam 2 petang.

“Sudah lebih dua bulan kami tidak pulang kerana berada di rumah nenek sejak PKP dilaksana 18 Mac lalu.

“Kami sangat terkejut kerana tidak menyangka ditimpa musibah begini sebelum menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan beranggapan ia sebagai ujian dan takdir daripada Allah.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Kalabakan, Abdul Kadir Imran berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.15 tengah hari dan sembilan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati rumah jenis papan itu sudah terbakar 95 peratus sebelum operasi memadam api dijalankan menggunakan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 4.30 petang dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *