Ibu Dan 4 Anak Rentung Dalam Kebakaran Di Membakut

Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, pagi tadi. 

MEMBAKUT: Ibu bersama empat anak lelakinya rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang rentung dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Dalam kejadian itu juga, dua lagi anaknya berusia 29 dan 25 tahun melecur dan dirawat di Hospital Beaufort.

IBU bersama empat anak lelakinya meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Binsuluk. FOTO Juwan Riduan
Lima mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, pagi tadi. 

Suami Aishah, Othman Ali, 64 bersama seorang lagi anaknya berusia 31 selamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata panggilan kecemasan diterima mengenai kebakaran itu pada jam 2.54 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba berjaya menyekat dan mengawal kebakaran pada jam 5.50 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemui lima mangsa rentung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1447