Sambut Aidilfitri Dengan Eratkan Hubungan Kekeluargaan Dan Saling Bermaafan

Christina Liew

KOTA KINABALU: Sambut suasana Hari Raya Aidilfitri dengan menguatkan lagi hubungan silatulahim serta saling bermaafan di antara satu sama lain khususnya ahli keluarga.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri adalah waktu kepada semua komuniti untuk bersama-sama meraikan sambutan itu.

“Saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua komuniti muslim di Sabah.

“Walaupun kita terdiri daripada pelbagai lapisan etnik dan agama, amalan sikap tolenransi di antara masyarakat Sabah membolehkan sambutan itu diraikan bersama-sama semua kaum dalam negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kesabaran itu adalah satu amalan murni dalam usaha bersama-sama menentang musuh yang sama, seterusnya bergerak ke hadapan untuk mengatasi krisis dihadapi.

“Kita akan kembali kepada kehidupan normal bergantung bertapa pantasnya kita boleh memutuskan rantaian penularan COVID-19,”katanya.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang diberikan.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada terhadap keselamatan masing-masing. Jangan lalai memandangkan bahaya COVID-19 masih belum diatasi.

“Kita perlu membiasakan diri dengan norma baharu dengan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Sentiasa mematuhi arahan Operasi Standard Prosedur (SOP) yang dikeluarkan kerajaan. Pastikan mengutamakan keselamatan sekiranya ingin bergerak ke destinasi masing-masing,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

344