Covid-19: Kes Baharu Di Tawau Merupakan Penumpang Pesawat Dari KL

KOTA KINABALU: Kes terbaharu dan pertama yang dilaporkan di Kota Marudu semalam merupakan seorang pesakit yang dirujuk oleh Hospital Kota Marudu ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS).

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, pihak HWKKS mengesan pesakit sah positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

“Manakala kes terbaharu daerah Tawau merupakan seorang penumpang yang tiba di Tawau melalui pesawat komersil dari Kuala Lumpur.

“Kes ini ditempatkan di pusat kuarantin dan telah dimasukkan ke wad Hospital Tawau pada 21 Mei 2020.

“Punca jangkitan untuk kedua-dua kes baharu ini masih dalam siasatan pihak pejabat kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada Khamis lalu, sebanyak 1,619 individu telah disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan sebanyak 19 penerbangan telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada hari tersebut.

“Terdapat empat penerbangan sewa khas yang membawa balik 904 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Semenanjung dan Sarawak dan 15 penerbangan komersil yang membawa 715 penumpang.

“Seramai 523 penumpang penerbangan komersil telah diambil sampel untuk ujian Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 10,809 orang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah pada Khamis lalu dan seramai 3,357 orang masih berada di 55 buah pusat kuarantin di seluruh negeri Sabah.

Menurut beliau, setakat yang dipantau tidak ada pelanggaran perintah dilaporkan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, empat premis telah diarah tutup di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, premis tersebut melibatkan dua restoran dan satu kedai runcit di daerah Sandakan kerana tidak mematuhi arahan penjarakan sosial manakala satu pusat asuhan di daerah Lahad Datu diarah tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *