Rumah Ibadat Bukan Islam Dibenar Operasi

KUALA LUMPUR: Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya di zon hijau mulai 10 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk bilangan yang hadir tidak melebihi 30 orang dan tertakluk kepada saiz dan keluasan rumah ibadat berkenaan.

“Kalau rumah ibadat kecil dan tidak boleh memuatkan 30 orang, maka jumlah yang berada di dalamnya perlu kurang daripada jumlah itu, tidak boleh berhimpit-himpit,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga emas berumur lebih 70 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat berkenaan.

Saringan suhu badan, penyediaan cecair pencuci kuman dan pemakaian pelitup separuh muka juga adalah sebahagian daripada SOP yang ditetapkan, katanya.

Ismail Sabri berkata, kebenaran menggunakan rumah ibadat itu hanya untuk warganegara Malaysia sahaja, dan hanya untuk hari-hari penting bagi agama masing-masing.

“Contohnya, untuk agama Kristian, mereka akan pergi ke gereja pada hari Ahad sahaja, jadi hanya hari Ahad dibenarkan,” katanya.

Setakat ini kerajaan telah membenarkan 174 rumah ibadat beroperasi di seluruh negara iaitu 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan lapan gurdwara.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan setakat ini ia melibatkan kira-kira satu peratus rumah ibadat seluruh negara.

Sementara itu, urusan perkahwinan di semua rumah ibadat masih ditangguhkan sambil menyatakan kelonggaran yang diberikan akan ditarik balik serta-merta jika terdapat sebarang pelanggaran SOP ditetapkan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *