Covid-19: 90 Lagi Pulih, Tiada Kematian

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara terus meningkat kepada 5,796 kes dengan kadar kesembuhan 82.1 peratus, hari ini.

Peningkatan itu susulan pertambahan 90 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari ini, 50 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,059 kes keseluruhan.

Beliau berkata, daripada 50 kes baharu dilaporkan itu, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia termasuk 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil dan mereka berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

“Daripada keseluruhan kes itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1,149 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, 10 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 114 kes, 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – HMetro

879