Covid-19: Empat Kes Baharu Di Kota Kinabalu Merupakan Kes Import

KOTA KINABALU: Kesemua empat kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Kota Kinabalu semalam merupakan kes import, iaitu kes yang mendapat jangkitan di luar negeri Sabah.

Kesemua kes ini dikesan melalui pengambilan sampel di Pintu Masuk Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, keempat-empat kes itu telah menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, dua kes tinggal di Selangor dan dua kes lagi di Johor.

“Kesemua kes ini telah ditempatkan di Pusat Kuarantin setibanya di Kota Kinabalu dan mereka telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan selanjutnya pada 18 Mei,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata, kes terbaru di Tuaran pula merupakan seorang pesakit yang dirujuk oleh Hospital Tuaran dan disahkan positif Covid-19 semasa dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan

lanjut.

Manakala kes terbaru di Kinabatangan merupakan kontak serumah kepada kes positif sebelum ini. Kes ini telah dimasukkan ke hospital berpakar terdekat untuk rawatan.

Kesemua enam kes itu merupakan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam dan sehingga kini, bilangan kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 337 kes.

Menurutnya, sejumlah 68,124 ujian sampel Covid-19 telah dijalankan di Sabah sehingga 18 Mei lalu.

Ujian makmal yang telah dijalankan pada 18 Mei 2020 adalah sejumlah 2,544. Daripada jumlah ini, lapan sampel adalah positif di mana enam merupakan sampel kes baharu dan dua sampel ulangan.

Setakat ini sebanyak 30 kes sedang dirawat di Sabah dan 302 kes yang telah pulih. Manakala, sebanyak lima kes kematian direkodkan.

Mengulas lanjut, Christina berkata, susulan kelonggaran pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahap empat (PKP 4), ramai rakyat Sabah yang kembali ke negeri ini dalam tempoh masa yang singkat.

“Peningkatan drastik kes dapat dilihat pada minggu kedua bulan Mei.

“Kebanyakan kes-kes baru yang dilaporkan di negeri Sabah merupakan kes import iaitu kes yang

mendapat jangkitan di luar negeri.

“Semua kes import telah dikesan melalui aktiviti saringan dan persampelan di Pintu Masuk Antarabangsa,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3447