Perjuangan Menuntut Hak Asas Kekuatan Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Prinsip perjuangan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah jelas iaitu mengembalikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dinafikan Putrajaya sejak sekian lama.

Semangat perjuangan inilah yang membolehkan Warisan sebagai parti paling mentah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 mampu membentuk kerajaan di Sabah dengan kerjasama UPKO yang juga parti tempatan.

Berbanding dua lagi parti tempatan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Solidariti Tanah Airku (Star), kedua-dua parti ini tidak membawa istilah perjuangan politik sebenar.

Jika sebelum ini, pemimpin Star melaungkan slogan mahu menuntut hak Sabah daripada cengkaman Semenanjung dan PBS juga turut mendendangkan lagu yang sama, namun kini kedua-duanya sudah hilang kredibiliti.

Ini berikutan tindakan pemimpin mereka yang begitu mudah beralih perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa melalui lantikan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di dalam kerajaan PN.

Perjuangan yang tidak konsisten inilah yang menjadi punca kepada huru-hara dalam politik negara seperti yang berlaku kepada beberapa kerajaan negeri PH yang akhirnya tumbang kepada PN termasuk yang terbaharu di Kedah.

Kejatuhan beberapa kerajaan itu bukanlah disebabkan parti yang menjadi naungan sebelum ini tidak mempu berjuang, sebaliknya ini kerana pemimpin yang mendapat tempat di dalam parti lebih mengutamakan perjuangan peribadi, untuk mencapai matlamat peribadi.

Di Sabah, khabar angin kini bertiup kencang kononnya Warisan juga bakal tumbang disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dikatakan bakal berpaling tadah daripada menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Perkara tersebut turut diulas Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin yang berkata, pihaknya menjangka kerajaan negeri di Sabah bakal bertukar kerana lompat parti dan tekanan Kerajaan Persekutuan terhadap Mohd. Shafie.

Bagaimanapun, daripada segi perkiraan politik, analisis ahli akademik itu yang disiarkan Astro Awani sebenarnya kurang berkesan kerana Warisan bersama UPKO dan PH Sabah mempunyai 43 kerusi berbanding PN Sabah sebanyak 17 kerusi sahaja iaitu berbeza 26 kerusi.

Justeru, bukan semudah itu untuk melihat 14 ADUN melompat parti menyokong PN yang membolehkan mereka membentuk majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam analisis yang dibuat jurucakap pro PN, mereka sebenarnya terlupa salah satu faktor iaitu bagaimana rakyat Sabah sebenarnya sudah terlalu lama makan hati terhadap Kerajaan Persekutuan yang selama ini meragut kekayaan negeri Di Bawah Bayu untuk dibawa ke Putrajaya.

Lebih-lebih lagi, pemimpin yang mewakili PN ketika ini adalah individu sama yang selama ini menidakkan hak-hak tersebut.

Sehubungan itu, keupayaan Kerajaan Sabah dalam menahan asakan penyangak politik daripada parti Semenanjung bergantung sepenuhnya kepada integriti pemimpinnya yang percaya kepada satu asas perjuangan iaitu menuntut hak Sabah ditunaikan.

Malah, sejak memimpin negeri, Mohd. Shafie sentiasa konsisten dan lantang dalam asas perjuangan itu.

Belum pernah ada mana-mana Ketua Menteri Sabah yang banyak mengeluarkan kenyataan menuntut supaya hak negeri ini ditunaikan bukannya terus diragut.

Semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri, 17 perkara mengenai hak-hak Sabah telah ditunaikan tetapi tergugat disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutan daripada PH kepada PN.

Walau bagaimanapun, Mohd. Shafie tetap menegaskan bahawa Kerajaan Sabah masih berpegang kepada perjuangan sama dan tidak semudah itu berpaling tadah daripada membawa suara rakyat Sabah sehingga menjadi kenyataan.

Jika PN secara terang-terangan menyatakan hasrat mahu mengambil alih Kerajaan Sabah, mereka perlu sedar, api perjuangan rakyat yang ditiupkan Mohd. Shafie tidak mudah padam, malah terus membara di dalam jiwa setiap pemimpinnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3599