SANDAKAN: Dua maut dalam nahas jalan raya masing-masing dalam kejadian di daerah ini dan Telupid, petang semalam.
Mangsa pertama membabitkan seorang lelaki yang juga penumpang kereta Perodua Viva maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam parit di Kilometer 4, Telupid-Tongod.
Mangsa berusia 44 tahun itu maut akibat kecederaan parah di kepala dan patah tulang leher dalam kejadian pukul 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa bersama pemandu berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Tongod ke Telupid dan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah laluan berselekoh.
“Pemandu kenderaan hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, seorang wanita warga Indonesia maut selepas dilanggar sebuah kereta Toyota Avanza yang dipandu wanita berusia 67 tahun ketika mangsa melintas jalan di Jalan Leila, di sini, pada pukul 4.10 petang.
Mangsa dikenali sebagai Samana Lasi, 63, maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah bandar ke Batu Sapi dan ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas secara tiba-tiba di hadapan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat menghentikan kenderaan kerana jarak yang terlalu dekat.
“Pemandu kenderaan diambil sampel darah untuk ujian kandungan alkohol.
“Kita minta orang ramai yang melihat kejadian agar tampil membantu siasatan,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost