Dugaan Menjelang Syawal, Lima Block Rumah Kongsi Musnah Dalam Kebakaran Di Inanam

Lima blok rumah kongsi pekerja berdekatan tapak baru Balai Polis Inanam, yang musnah terbakar.

KOTA KINABALU: Lima blok rumah kongsi membabitkan 80 pintu musnah dalam kebakaran berhampiran tapak baru Balai Polis Inanam dan kuarters di pekan Inanam, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian jam 12.50 tengah malam itu menyebabkan lebih 250 pekerja daripada 75 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun rata-rata mangsa kehilangan harta benda termasuk persiapan Aidilfitri iaitu kelengkapan baju dan kuih raya.

Lima blok rumah kongsi pekerja berdekatan tapak baru Balai Polis Inanam, yang musnah terbakar.

Penyelia tapak pembinaan berkenaan, Rozikahan Amir, 33, berkata, kebakaran itu disedari isteri yang terjaga sebelum mengejutnya.

“Saya cuba memadam api itu namun gagal kerana api semakin marak menyebabkan saya berlari keluar bersama isteri dan empat anak kami.

“Saya tak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang penting nyawa isteri dan empat anak saya berusia lapan hingga 12 tahun, perlu diselamatkan namun semua barangan dalam rumah musnah.

“Turut musnah dokumen penting dan kelengkapan baju raya anak-anak serta kuih raya. Hasrat untuk beraya bersama pekerja di sini, tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan II, Rozam Shah Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.58 tengah malam dan tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

Lima blok rumah kongsi pekerja berdekatan tapak baru Balai Polis Inanam, yang musnah terbakar.

Katanya, operasi bermula sejurus sepasukan 14 anggota termasuk dua pegawai dibantu BBP Kota Kinabalu, tiba di lokasi bersama empat jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi di dapati api sedang marak dan lima blok rumah kongsi pekerja musnah terbakar. Namun kecekapan anggota bomba berjaya menyelamatkan 25 lagi blok daripada musnah terbakar.

“Pasukan bomba turut berjaya mengawal api daripada terus merebak ke rumah penduduk kampung yang terletak kira-kira lima meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rozam Shah berkata, api dikawal pada 1.33 pagi dan bomba hanya memerlukan masa 23 minit untuk mengawal keadaan.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu. Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Difahamkan, buat masa kini semua mangsa kebakaran berlindung di kuarters tapak baru Balai Polis Inanam, yang masih dalam pembinaan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *