Muhyiddin Layak Dilantik PM – Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah berangkat tiba bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong bertitah Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda yakin Muhyiddin akan membawa negara mendaki persada kejayaan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda bertitah, kemelut politik negara pada Februari lalu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan tanpa ada penghujung.

Selain itu, baginda yakin kerajaan akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk Covid-19 kepada rakyat dan negara, pastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin.

Al- Sultan turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya jangan menyeret negara ke kancah politik sewaktu berdepan Covid-19.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan, namun penganut agama lain bebas amalkan agama mereka secara aman.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3660