Dua Restoran Gagal Patuhi SOP Ditutup Di Sandakan

KOTA KINABALU: Dua restoran di Sandakan diarahkan tutup akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kedua-dua premis itu diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pemilik premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial dan permit beroperasi.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, dua premis itu antara 497 premis yang diperiksa melalui Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi lain.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, sempena Hari Hipertensi Sedunia semalam, JKNS mengingatkan penghidap hipertensi atau darah tinggi supaya lebih berhati-hati kerana mereka antara golongan berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015, 26.8% orang dewasa di negeri Sabah didapati mengidap penyakit Hipertensi.

“Ini bermakna, satu daripada empat orang dewasa di Sabah mengidap penyakit darah tinggi.

“Inilah sebabnya, pihak JKNS sentiasa mengingatkan semua orang untuk mengamalkan norma baru bagi melindungi golongan berisiko dalam keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19,” ujarnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *