14 Ditahan, Dadah Bernilai RM107,200 Dirampas

Zaini (kiri) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kepayan hari ini.

KOTA KINABALU: Polis menahan 14 individu termasuk empat wanita dengan merampas 1,400.99 gram ganja dan 698.51 gram syabu bernilai RM107,200 dalam dua kes berasingan di sekitar daerah ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, bagi kes pertama, Jabatan Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah menahan 13 individu termasuk empat wanita berusia antara 18 dan 27 tahun dalam empat serbuan berasingan pada 15 Mei lepas.

Zaini (kiri) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kepayan hari ini.

“Semasa serbuan berkenaan sebanyak 1400.99 gram ganja dan 600.51 syabu dirampas yang dianggarkan bernilai RM92,500.

“Kesemua siri serbuan berkenaan dilakukan ekoran tertangkapnya tiga lelaki yang menaiki sebuah kenderaan di hadapan pos laju Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Sepanggar pukul 9.15 pagi Jumaat lepas.

“Hasil pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang berada diluar kenderaan berkenaan menemui 578.07 gram ganja dalam bungkusan plastik yang dipercayai baru sampai dari Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang dinaiki suspek mendapati dua lelaki sedang duduk di dalam kenderaan berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan kemudiannya menemui 548.22 gram ganja yang juga dipercayai baru tiba dari Semenanjung melalui kiriman pos laju.

“Siasatan lanjut terhadap suspek berkenaan telah membawa kepada tiga lagi serbuan pada hari yang sama di tiga rumah berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan menahan 10 lagi individu bersama rampasan dadah yang ditemui di rumah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kes kedua, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing bersama 98 gram syabu bernilai RM14,700 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Menggatal, semalam.

Jelasnya, kesemua suspek berkenaan telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Mei ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *