Covid-19 Boleh Berjangkit Melalui Mata

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, saranan penjarakan satu meter penting bagi mengelakkan virus berjangkit melalui mata.

“Virus (Covid-19) boleh masuk ke dalam mata, oleh itu elakkan tangan daripada selalu menyentuh muka dan mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu kepada setiap individu dan keluarga di negara ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap kali berada di tempat awam.

Noor Hisham berkata, ini adalah untuk melindungi masyarakat daripada jangkitan Covid-19.

“Sekarang kita sudah ada SOP dan kita kena patuh walaupun tiada penguatkuasaan dilakukan.

“Walaupun berada di kedai atau pasar raya amalkan penjarakan sosial satu meter dan gunakan pembasmi kuman serta pakai pelitup muka. Kami berharap saranan ini dapat dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, lebih penting sekarang adalah mengehadkan aktiviti kunjung-mengunjung di musim perayaan nanti dan jika boleh perayaan disambut secara tertutup.

“KKM juga bimbang terdapat jangkitan akibat aktiviti rentas negeri, namun yang penting patuhi SOP.

“Untuk melaksanakan penguatkuasaan di lokasi tumpuan KKM harus berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai agensi lain supaya tindakan bersepadu dapat diambil,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1832