UMNO Sabah Sedia Terima Bekas Ahli

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tiada sebarang halangan dan sentiasa membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli atau anggota parti lain untuk menyertai parti berkenaan.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya tidak mendengar sebarang khabar mengenai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah yang berhasrat untuk kembali kepada Umno.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana individu terutamanya bekas ahli Umno untuk menyertai parti berkenaan namun mereka perlu melalui prosedur ditetapkan.

“Sekiranya perkara itu benar sekalipun, mereka yang berhasrat untuk menyertai Umno semula perlu melalui prosedur dan proses biasa kerana Umno bukan hanya sebuah parti semata-mata.

“Umno adalah sebuah perjuangan dan kita mempunyai peraturan yang sudah ditetapkan. Kita bukan seumpama sebuah bilik hotel di mana sesiapa boleh ‘check in’ dan ‘check out’ sesuka hati.

“Perkara itu kemungkinan besar hanya khabar angin namun hari ini politik terlalu sukar untuk diramal.

“Perkara yang kita rasa mustahil berlaku dalam politik tidak ada yang mustahil dan disebabkan itulah politik dikatakan sebagai kemungkinan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, Sabah berpotensi bertukar kerajaan seperti yang terjadi di Kedah, hari ini.

“Kemungkinan besar boleh berlaku kerana rakyat kini lebih bijak menilai parti politik mana yang membawa perubahan ke arah kebaikan untuk mereka dan juga negara.

“Tidak ada perkara yang mustahil dalam politik. Dalam politik, tiada musuh yang kekal, tiada rakan yang kekal melainkan hanya kepentingan kekal,” katanya.

Terdahulu, satu portal berita melaporkan dakwaan lima orang Adun Bersatu Sabah akan kembali menyertai Umno berikutan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2935