KDM Malaysia Tolak Propaganda Kerajaan Sabah Bertukar

KOTA KINABALU: Kepimpinan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri menolak retorik cyber trooper pembangkang yang menjangka Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bakal hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, realiti politik masa kini menunjukkan kepimpinan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) kukuh dan berada di landasan yang memihak kepada rakyat.

“Retorik propaganda pembangkang hanya bertujuan meniupkan angin menggoyang pokok untuk mengeruhkan ketenangan politik dengan membuka ruang bagi orang-orang tertentu memberi gambaran negatif kepada kerajaan,” katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menegaskan dakwaan terdapat 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah beralih sokongan daripada Mohd. Shafie kepada pemimpin lain hanya andaian pemerhati luar.

“Kebenaran dalam kerajaan menunjukkan ahli-ahli yang berhormat Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian asal berkhidmat kepada rakyat bersama kerajaan yang ada sekarang,” katanya yang juga Naib Presiden Warisan di sini hari ini.

Peter yang juga ADUN Melalap berkata, dakwaan peralihan teraju negeri daripada Mohd. Shafie kepada pemimpin lain yang pernah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak relevan kerana pemimpin berkenaan sedang berhadapan puluhan kes mahkamah.

Peter menegaskan kerajaan yang ada sekarang akan kekal sehingga PRU15 dan ketika itu barulah realiti politik negeri menampakkan komposisi sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui keputusan pilihan raya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah Tenom berkata, kebajikan rakyat di kawasan-kawasan yang diwakili pembangkang terus terbela melalui usaha-usaha kebajikan yang dilaksanakan.

Dalam pelbagai misi kemanusiaan, pihaknya berkali-kali menegaskan mahu memastikan tiada penduduk tercicir menerima bantuan dan jika ada yang tercicir kami selalu mengambil maklum untuk menghantar bantuan kepada keluarga berkaitan.

Peter berkata, kepimpinan kerajaan yang ada sekarang ditadbir urus dalam kalangan orang-orang berpendidikan mengikut bidang tugas profesional di mana mereka ditempatkan untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Tiada istilah kerajaan masa kini dikendalikan kalangan kurang berpendidikan kerana jika benar demikian data harus diberikan untuk menyokong dakwaan,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2135