Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Dari Belakang

Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh dalam kejadian di Batu 4, Jalan Utara, Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda dalam kejadian di Batu 4, Jalan Utara, di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd Riduan Pindatun, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan dalam kejadian jam 9.20 malam itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata mangsa dipercayai menunggang motosikal bersendirian dan sedang menghala ke bandar Sandakan sebelum motosikalnya dilanggar pacuan empat roda itu.

Katanya, pemandu kereta pacuan empat roda yang berusia 28 tahun sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan diambil sampel darah bagi ujian kandungan alkohol.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Kita minta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kejadian ini agar tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *