KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki menghina dan memburuk-burukkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin melalui aplikasi Whatsapp membawa padah apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.
Majistret Afiq Agus menjatuhkan hukuman itu terhadap Jolay Bonar, 51, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 22 Nov tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik hantaran yang menghina dan memburuk-burukkan Tun Juhar di kumpulan Whatsapp pada hari berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abdul Halim dan Jolay tidak diwakili peguam.- Harian Metro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost