SPRM Tahan Dua Polis Berpangkat Koperal Di Keningau

KENINGAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, menahan dua anggota polis, di sini, yang dipercayai menerima wang rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki yang dipercayai terbabit memiliki peralatan menghisap syabu.

Dua suspek berusia 37 dan 44 tahun berpangkat Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau terbabit ditahan jam 2.30 petang.

Difahamkan, dua anggota polis itu menemui peralatan menghisap syabu di dalam rumah lelaki terbabit pada Selasa lalu.

Mereka kemudian diercayai menerima sejumlah wang rasuah RM3,000 daripada lelaki itu petang tadi, untuk tidak mengambil tindakan.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dua anggota terbabit.

“Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Keningau esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi,” katanya. – Berita Sabah

5605