Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Libatkan Penipuan Pelaburan Bitcoin Lebih RM400,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan penipuan deposit pelaburan perniagaan Bitcoin bernilai RM425,710 tanpa lesen yang sah.

Bagi kes pertama, Mohd Wannor Ramdan Awang, 25, dituduh menipu seorang mangsa melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM392,860 tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, di sebuah restoran antara Julai hingga September tahun lepas.

Dia yang dituduh memperdayakan mangsa agar memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Maybank miliknya, didakwa di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan empat orang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.

Di Mahkmah Majistret berasingan pula, Mohd Wannor mengaku tidak bersalah atas kes kedua iaitu memperdayakan seorang lagi mangsa di sebuah bank di Damai Plaza pada Julai tahun lepas kira-kira jam 4 petang.

Dia didakwa memperdayakan mangsa supaya memasukkan RM32,850 ke dalam akaun miliknya untuk tujuan pelaburan itu.

Tuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Majistret Afiq Agoes membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,800 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Jun ini.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Peguam Kanan Persekutuan Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *